Tuesday, July 9, 2013

Didik Anak Fahami Erti Ramadan


rehlah

Setiap kali tiba Ramadan, ramai ibu bapa begitu bersemangat untuk memastikan anak kecil mereka berpuasa. Tidak dapat sehari, separuh hari pun jadilah. Yang penting kena berpuasa.

Sebagai ibu ataupun bapa, tanya dahulu pada diri sendiri, apa sebenarnya yang ingin diterapkan pada anak tentang puasa. Adakah sekadar menahan lapar dan dahaga ataupun lebih daripada itu? Jika hanya ingin mengajar anak tentang lapar dan dahaga semata-mata, rasanya bukanlah satu langkah yang bijak kerana ibadat berpuasa di bulan Ramadan yang juga merupakan rukun Islam ketiga itu sungguh luas maknanya. Memahami makna atau pengertian sebenar puasa itu lebih penting daripada terus berpuasa tanpa tahu hujung pangkalnya.

Sebenarnya, sebelum seseorang itu (tidak kira kanak-kanak mahupun orang dewasa) berpuasa, dia kena tahu apa itu puasa. Hal ini penting agar kita dapat menjalani ibadat puasa dengan sempurna dan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga.

Asasnya, puasa berertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai daripada terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Ini kunci utamanya. Ayuh, kita sekeluarga fahami perkara asas ini. Apabila sudah memahaminya barulah boleh diamalkan. Disarankan agar sebelum melatih anak berpuasa, ajar mereka perkara-perkara asas tentang berpuasa seperti niat, tempoh berpuasa, perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, perkara-perkara sunat diamalkan semasa berpuasa dan perkara yang makruh dilakukan.

Setelah anak-anak faham erti berpuasa secara fizikal, mulalah beritahu mereka maksud yang tersirat di sebalik ibadat berpuasa. Misalnya, terangkan pada anak tentang rasa lapar dan dahaga yang dialami semasa berpuasa. Itulah rasa lapar dan dahaga orang miskin yang tidak ada makanan dan minuman. Tanpa disedari, rasa lapar dan dahaga ini membibitkan rasa belas kasihan dalam diri anak-anak kepada mereka yang kurang mampu dan sedar tentang pentingnya bersyukur. Gunakanlah saat ini untuk mendidik anak- anak agar sentiasa mensyukuri segala nikmat yang Allah SWT telah berikan.

Paling penting, jangan sesekali membazir. Membazir itu amalan syaitan. Ketahuilah bahawa pembaziran makanan sentiasa berlaku. Lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan. Rasa lapar dan dahaga membuat kita ingin membeli bermacam-macam jenis makanan untuk santapan berbuka. Tapi, realitinya yang mampu dimakan terlalu sedikit. Akibatnya lebih banyak yang dibuang. Berpuasa tetapi tidak dapat menahan nafsu, lihatlah betapa ruginya kita. Terpengaruh dengan hasutan syaitan memjadikan amalan puasa seharian tidak membawa manfaat, sekadar rasa lapar dan dahaga.

Selain itu, peraturan masa dan perbuatan semasa berpuasa juga mengajar manusia berdisiplin dan sabar. Kegagalan mematuhi peraturan dan tidak sabar boleh membatalkan puasa. Inilah yang ingin diterapkan. Berdisiplin dan sabar penting dalam kehidupan seharian kita. Jika sifat-sifat ini dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian kita sekeluarga, tentu hidup akan lebih bahagia, aman dan tenteram.

Daripada aspek kesihatan pula, berpuasa banyak manfaatnya. Beritahulah anak-anak bahawa berpuasa baik untuk kesihatan tubuh. Sebulan berpuasa merupakan waktu lapang atau kurang kerja bagi organ dalaman tubuh terutamanya bahagian penghadaman dan pencernaan. Selama 11 bulan bekerja keras memproses makanan setiap hari tanpa henti tentu memenatkan.

Jadi, organ-organ ini tentu perlu rehat sedikit. Maka bulan puasalah waktunya kerana ketika itu makanan yang perlu diproses lebih sedikit berbanding biasa.

Menurut fakta biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Hal ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan.

Sebab itulah jika kita makan terlalu banyak, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan rasa mengantuk serta malas. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Keadaan ini membuatkan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada tubuh untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal dengan berkesan.

Selain itu, para penyelidik ilmu perubatan telah membuktikan bahawa puasa dapat membuang toksik atau racun dari badan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit. Menurut Dr. Mac Fadon, seorang doktor dari Amerika, puasa adalah seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.

Firman Allah SWT :“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, (iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Barang siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagi mu jika kamu mengetahui."

(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagi mu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi mu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada mu, supaya kamu bersyukur.” (Al Baqarah: 183-185):

Menurut Imam Al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-Ulumuddin, puasa ada tiga tingkat :
1. Puasa Orang Awam
Puasa yang menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.
2. Puasa Orang Khusus
Pancaindera dan seluruh tubuh turut berpuasa daripada melakukan dosa.
3. Puasa Orang Istimewa, Super Khusus
Turut berpuasa ‘hati nurani’ iaitu tidak terlalu memikirkan soal keduniaan.

Kredit kepada Editorial Pa&Ma. 

0 comments:

Post a Comment